• 26
    Soalan Lazim
  • 26
    Hubungi Kami
  • 26
    Aduan & Maklum Balas
  • 26
    Peta Laman
  • 26
    Soal Selidik
  • Utama
  • Info
  • Berita MAIPk
  • Majlis Pelepasan Sulung Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk Tahun 2026

Majlis Pelepasan Sulung Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk Tahun 2026

IPOH, 15 Jun 2026 – Majlis Agama Islam dan ‘Adat Melayu Perak (MAIPk) hari ini telah mengadakan Majlis Pelepasan Sulung Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) MAIPk Tahun 2026 yang berlangsung di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan.

Seramai 40 peserta yang terdiri daripada belia dan beliawanis asnaf dari pelbagai daerah di seluruh Negeri Perak telah terpilih untuk mengikuti latihan intensif dalam bidang penerbangan. Program ini merupakan pelepasan sulung TVET MAIPk bagi tahun 2026 dan menjadi pembuka tirai kepada pelaksanaan pelbagai program TVET yang telah dirancang sepanjang tahun.

Majlis pelepasan peserta telah disempurnakan oleh Amirudin bin Osman, Pengurus Besar Bahagian Pemerkasaan Asnaf MAIPk. Beliau turut berkesempatan menyampaikan sesi motivasi perubahan diri serta amanat kepada para peserta sebagai persediaan sebelum memulakan latihan dan menempuh cabaran dalam dunia kerjaya.

Para peserta akan mengikuti latihan intensif selama tiga bulan di Aviation Malaysia Knowledge To Career (AMKTC), Shah Alam. Bagi menjayakan program ini, MAIPk telah memperuntukkan hampir RM400,000.00 bagi menampung kos latihan peserta.

Menariknya, kesemua peserta yang berjaya menamatkan latihan akan terus ditempatkan dalam industri penerbangan menerusi jaminan penempatan kerjaya yang telah disediakan, sekali gus membuka peluang pekerjaan yang stabil dan berpotensi tinggi kepada golongan asnaf.

Program kali ini turut mencatat sejarah tersendiri apabila melibatkan penyertaan dua orang wanita daripada komuniti Orang Asli. Penyertaan ini mencerminkan komitmen MAIPk dalam memperluaskan akses latihan kemahiran kepada semua golongan asnaf serta membuka lebih banyak peluang pembangunan kerjaya kepada komuniti yang memerlukan.

Tahun 2026 menyaksikan MAIPk merancang pelaksanaan sebanyak 37 kursus TVET melibatkan sasaran 1,200 peserta dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM10 juta. Pelepasan sulung ini merupakan langkah awal ke arah merealisasikan sasaran tersebut, dengan beberapa siri program TVET lain akan dilaksanakan sepanjang tahun.

TVET MAIPk bukan sekadar menyediakan latihan kemahiran, malah menawarkan laluan kerjaya yang jelas dan terjamin kepada peserta. Inisiatif ini merupakan antara usaha strategik MAIPk dalam memperkasakan anak-anak asnaf, membebaskan mereka daripada belenggu pengangguran serta melahirkan modal insan yang berkemahiran, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.


.
.
.
.
.
.
.
.
.
Kod QR
Scan Kod QR pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Bantuan
Scan Kod QR Borang Bantuan pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.
Kod QR Borang Aduan Awam
Scan Kod QR Borang Aduan Awam pada telefon pintar anda untuk versi mudah alih.